Malas baca Perjanjian Jual Beli?

Jawapan kepada soalan entri ni sememangnya ialah JANGAN! (big No!). Jangan malas baca Perjanjian Jual Beli atau SPA.  Sebenarnya jujur kata tak da siapa pun yang rajin baca SPA tu. Dahlah tebal, fontnya pula kecik mana tak berpinar mata. Tetapi tolonglah kalau tak baca main sign je, nanti menyesal terutama kalau beli hartanah sub-sale.

Sebenarnya bukan semua terma kena baca. Kalau tak rajin pun bacalah terma-terma atau bahagian yang ni:-

1. Detail hartanah

Ini perkara paling penting yang pembeli kena baca. Jangan nanti dah sign SPA baru perasan rumah A yang nak dibeli terbeli Rumah B memandangkan pemiliknya sama. Jadi apa yang nak dibaca?

i) Pertama kena pastikan alamat rumah dalam SPA tu sama dengan alamat rumah yang nak dibeli. Yang ni boleh bandingkan alamat dengan penyata cukai pintu; dan

ii) Kedua, kalau rumah yang nak dibeli itu dah keluar hakmilik strata atau geran, tengok ada apa-apa sekatan kepentingan tak. kalau ada, soalan seterusnya kena tanya adalah korang penuhi tak syarat-syarat tu. kalau tiada sebarang sekatan, bolehlah proceed.

Kalau apartment atau Kondominium biasanya akan datang bersama lot parking. Jadi periksa samada nombor lot parking dalam SPA asal sama tak dalam SPA yang nak ditandatangan itu. Memang remeh tetapi ini untuk lindungi Pembeli dari tersalah beli.

2. Harga

Patutnya ini point nombor satu. Tetapi untuk elakkan ia menjadi cliche saya letak sebagai perkara nombor 2. Bila rumah yang ada dalam SPA itu rumah yang betul, seterusnya baca terma harga. Biasanya dalam SPA ia akan letak berapa harga belian dan macam mana serta bila harga-harga ini kena bayar.

Biasanya arrangement bayaran macam ni:
i) Deposit; dan
ii) Baki harga jualan.

Deposit pula bergantung. Tetapi biasanya dalam transaksi Sub-Sale, deposit adalah 10 peratus dari harga jualan. Deposit ini pula kena bayar 2% atau 3% sebelum tandatangan SPA dan seterusnya baki, sewaktu tandatangan SPA. Deposit ini penting sebab kalau tiada deposit yang dibayar, Penjual berhak tak nak teruskan transaksi.

Jadi pastikan terma ini ada dalam SPA  dan seperti yang dibincangkan sebelum tandatangan Perjanjian Jual Beli (SPA).

3. Penyerahan milikan kosong (Vacant Possession)

Bab ni memang jangan tertinggal. Dalam undang-undang, kalau Pembeli dah bayar 10% sekalipun rumah tu belum jadi hak hangpa. Hanya selepas baki jualan selesai barulah boleh dapat milikan kosong.  Jadi dalam SPA biasanya akan tulis berapa hari selepas duit baki jualan dibayar, Penjual kena serahkan kunci pada pembeli.

Kiranya selepas itu, rumah itu secara rasminya jadi hak milik Pembeli.  Ia bergantung pada perbincangan Penjual-Pembeli. Ada 3 hari ada 5 hari ada 7 hari selepas Pembeli atau bank bayar harga baki julana.   Sekali lagi kena baca dan pastikan korang tau. Ini pun untuk memudahkan korang jangka bila akan dapat masuk rumah tu.

4. Senarai-senarai barangan

Macam ni, ada ketikanya rumah yang dibeli tu mai sekali dengan pakej perabut, kabinet, air-cond, tv dan sebagainya. Sekiranya Penjual setuju untuk tinggalkan barang-barang ni pastikan disenaraikan. Jangan nanti dah setuju untuk beli rumah bersama-sama isi kandungan, korang dapat rumah kosong.

Tetapi kalau Pembeli setuju untuk beli rumah kosong tak perlulah nak senaraikan.  Ini juga  untuk lindungi hak Penjual dan hak Pembeli. Ada insiden dah janji nak tinggalkan air-cond, tiba-tiba bila Pembeli dah dapat kunci, air-cond tu pun dah tak da. Periksa SPA, haaa memang tiada yang disenaraikan.

Kesimpulannya

Luangkanlah sedikit masa, baca Perjanjian Jual Beli (SPA). Kalau tak faham boleh tanya Peguam yang drafkan tu. Bukan apa kalau tak nak baca, lepas tu tak jadi apa-apa kira oklah. Tetapi kalau tak nak baca dan kemudian jadi sesuatu yang luar jangka, Itu rasanya memang tak ok.