Pengeluaran KWSP untuk beli rumah? Bagaimana cara yang betul supaya anda tidak tersilap membuat pengiraan?

Sebelum itu, sedikit pengenalan mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau kita selalu sebut KWSP, tak kurang juga yang sebut EPF (Employees Provident Fund).

KWSP merupakan sebuah institusi keselamatan sosial yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Malaysia, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452).

Tujuannya untuk menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya iaitu kita yang berkerja ni, melalui pengurusan simpanan secara cekap dan boleh dipercayai.

Ini kira ‘forced saving’ lah ini. Simpanan yang dipaksa.

Kalau tiada KWSP ini, alamatnya hampir semua pekerja yang tiada skim pencen, merana lepas habis tempoh perkhidmatan.

Kalau ikutkan, simpanan ini adalah 23% daripada gaji; yang mana 11% daripada gaji kita dan 12% pulak ditambah oleh majikan dicarumkan kepada akaun KWSP individu.

Akaun KWSP kita ada dua, Akaun 1 dan Akaun 2.

Akaun 1 adalah 70% daripada jumlah gaji yang ditolak dan akaun ini hanya boleh dikeluarkan setelah memenuhi syarat, iaitu mencapai 55 tahun, kehilangan upaya, meninggalkan negara atau meninggal dunia.

Akaun 2 pula 30% daripada jumlah yang ditolak. Akaun 2 ni la yang kita boleh keluarkan untuk tujuan tertentu, contohnya untuk membeli rumah.

“Macam mana nak check berapa RM dalam KWSP saya?”

Senang je. Anda ada beberapa cara untuk check baki dalam KWSP anda.

1) Pergi terus ke Pejabat KWSP berdekatan, atau

2) Pergi ke kiosk KWSP, macam ala-ala mesin ATM je.

Bukan setakat dapat check baki, anda juga boleh dapatkan penyata tahunan KWSP ini.

Jadi sebenarnya, anda tak perlu pun nak pergi ke pejabat KWSP, tak perlu la nak minta cuti semata-mata nak dapatkan sehelai kertas. Caranya sangat senang, cari lokasi kiosk KWSP yang terdekat.

Dah jumpa kiosk, masukkan IC dan dah boleh print statement anda.

 

kiosk kwsp

Gambar: Foursqure

“Rumah idaman dah jumpa, nak kena settlekan deposit plak.”

Deposit rumah memang diperlukan untuk kebanyakkan kes pembelian rumah. Standard 10%, jika dapat loan 90%.

Ada jugak yang deposit 30% disebabkan dapat loan hanya 70%. Kes ni selalunya untuk pembelian rumah ketiga, keempat, dan seterusnya.

Deposit ni memang perlu sebab yang pertama sekali adalah loan bank. Loan maksimum anda boleh mintak adalah 90% saja daripada harga rumah, balance tu anda kena cover sendiri.

Jika anda dapat 100% loan, deposit 10% tetap diperlukan dan akan dikembalikan selepas dapat rumah melalui lawyer anda.

Deposit ni juga sebagai “security”, andai kata pembeli tetiba cancel, ada jugak pampasan untuk owner. Sebab tu, susah sebenarnya nak cari owner yang bagi anda beli rumah dengan zero deposit.

“Bila deposit ni diperlukan? Time bila kita nak bayar?”

Ok, pertama bila anda dah jumpa rumah yang diminati, of course kena book dulu kan. Booking selalunya 3.18% termasuk GST. Sebaik-baiknya melalui agensi yang berdaftar untuk mengelakkan kes penipuan. Elakkan bagi booking direct kepada owner.

Baki 6.82% pulak dibayar semasa tandatangan SPA (Sale Purchase Agreement). Ini baru bayar direct kepada owner, sebab agreement semua dah ada dan dah ditandatangani depan lawyer.

BACA LAGI: Deposit Bukan Hanya 10% 

Anda juga kena fahamkan proses pembelian rumah ni. Secara am, proses tukar hak milik rumah, dalam 3-4 bulan. Tapi tu title FREEHOLD. Kalau title LEASEHOLD, kena tambah lagi 3 bulan. Dah jadi 6-7 bulan.

Tapi kalau tiba-tiba ada sekatan ke atas rumah yang nak beli, jadi satu lagi masalah. Kena settlekan sekatan tu baru boleh teruskan proses pembelian. Jadi lambat la nak claim KWSP ni.

Ini sekadar perkongsian ringkasan untuk persiapan anda beli rumah. Nak tau detail boleh tengok link di bawah ni

BACA LAGI: Sekatan ke Atas Rumah

BACA LAGI: Proses dan Tempoh Jual Beli Rumah

rumah dan wang

“Kalau nak guna duit KWSP untuk beli rumah, apa syaratnya?”

Untuk guna KWSP ni, anda kena pastikan anda memenuhi syarat. Untuk Akaun 2, anda dah memenuhi syarat pertama iaitu pengeluaran untuk pembelian rumah. Tahniah.

Syarat yang lain pula umur anda mesti belum masuk 55 tahun, dan kena ada at least RM500 dalam Akaun 2 tu.

Anda boleh apply untuk kebanyakkan jenis rumah kediaman seperti banglo, teres, berkembar, apartment, kondominium, studio apartment, service apartment, townhouse, SOHO, atau rumah kedai dengan unit kediaman. Ada title kediaman boleh ja apply.

Pastikan yang loan anda diberi oleh syarikat yang berlesen ye. Selalunya kita apply loan beli rumah dengan bank, jadi tak ada masalah sebab bank memang dah berlesen pun.

Untuk rakan-rakan yang buat loan dengan badan-badan yang lain, pastikan memenuhi perkara-perkara ini :-

  • Institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013
  • Kerajaan Pusat / Negeri atau lain-lain agensi kewangan kerajaan
  • Majikan ahli
  • Koperasi / syarikat kerjasama yang berlesen (diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia)
  • Syarikat Insurans berlesen yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia
  • Pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP

Seperti yang saya bagitau awal tadi, pembelian rumah memerlukan deposit awal. Jadi, anda perlu gunakan wang anda sendiri terlebih dahulu, kemudian baru claim dengan KWSP. Bukannya KSWP akan bagi cash, lepas tu anda guna untuk deposit. Tidak. Kalau boleh buat macam tu, mesti ramai yang akan salah guna.

Atau, anda bernasib baik, dapat penjual yang tak kisah anda tunggu duit KWSP. Untuk kes ini, tak perlu la guna duit sendiri, tunggu je la sign SPA, beberapa minggu lepas sign SPA tu baru akan dapat duit tu dan bayar la kepada penjual.

sale and purchase agreement

Sekejap lagi saya tunjukkan contoh pengiraan. Kita tengok syarat yang lain dulu.

“Saya dah buat pengeluran KWSP untuk rumah pertama. Boleh keluarkan lagi ke?”

Pengeluaran KWSP untuk perumahan hanya boleh buat untuk rumah pertama dan kedua saja, yang ketiga tak boleh ye. Jadi, syarat yang lain, anda belum pernah membuat pengeluaran untuk pembelian rumah.

Kalau dah pernah buat pengeluaran untuk rumah pertama, anda dibenarkan untuk pengeluaran rumah kedua, tetapi rumah pertama tadi anda kena jual dulu atau pindah milik.

Pastikan nama anda dah tak ada atas rumah pertama tadi, baru lah boleh apply untuk rumah kedua.

Kalau dah beli rumah macam mana pulak?

“Saya dah beli rumah tapi tak tahu KWSP boleh buat pengeluaran.”

Sebenarnya, anda ada masa 3 tahun tau bermula dari tarikh SPA sehingga tarikh permohonan pengeluaran diterima. Kalau anda baru beli tahun lepas, sempat lagi nak apply ni.

Pernah dengar skim sewa dan beli? Kalau anda beli rumah guna skim ni pun, anda layak untuk memohon.

Dan kalau nak buat rumah sendiri pun boleh memohon dengan syarat anda beli tanah secara pakej dengan pembinaan rumah. Pembinaan rumah mesti bermula dalam masa 6 bulan dari tarikh pembelian tanah.

“Kenapa saya tak layak nak keluarkan KWSP?”

Ok, tadi kita tengok syarat layak. Kita tengok pulak apa yang tidak boleh apply KWSP ni. Sebab, banyak jugak yang ingat mereka boleh apply pengeluaran KWSP untuk renovate rumah.

Memang kena reject la, sebab ubah suai rumah di bawah perkara yang tidak dibenarkan untuk memohon. Yang lain pulak ialah:

  • Membeli tanah atau lot tapak rumah sahaja
  • Mengubahsuai, membaiki atau membuat kerja-kerja tambahan kepada rumah yang sedia ada
  • Pemilikan harta tidak melalui transaksi jual beli
  • Mengambil pinjaman berbentuk Overdraf
  • Membeli rumah ketiga
  • Membeli rumah di luar negara

Jumlah pengeluaran pulak, ramai jugak yang masih confuse. Ada yang tanya saya, boleh tak dia keluarkan semua Akaun 2 dia untuk buat deposit supaya bulanan yang dia bayar dekat bank jadi rendah disebabkan dia bayar deposit banyak.

Jawapannya, kena tengok harga rumah dulu.

Sebabnya, ada percentage limit yang dibenarkan untuk pengeluaran KWSP ni.

Contoh Pengiraan Pengeluaran KWSP

Untuk jumlah yang boleh dikeluarkan, terbahagi kepada dua; individu dan bersama.

1) Pengeluaran individu

Jumlah pengeluaran adalah perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah; ATAU Semua simpanan Akaun 2.

Contoh:

a) Harga rumah RM300,000. Loan 90% (RM270,000)

10% x RM300,000 = RM30,000

Beza harga rumah: 300,000 – 270,000 = 30,000

Jumlah boleh keluar: Beza harga rumah + 10% = 30,000 + 30,000 = 60,000

Jadi, untuk kes ni, anda boleh keluarkan RM60,000. Kalau Akaun 2 anda tak sampai RM60,000, anda boleh keluarkan semua Akaun 2 tu.

Akaun 2 dah habis tapi belum cukup jugak, minta maaf anda tetap tidak boleh kacau Akaun 1.

b) Harga rumah RM300,000. Loan 100%

10% daripada harga rumah iaitu RM30,000 sahaja; ATAU Semua simpanan Akaun 2 kalau akaun tak cukup RM30,000.

Kenapa loan 100%, tapi dapat extra 10% lagi ye? Sebab nak beli rumah, ada lagi kos lain selain harga rumah seperti kos guaman, stamp duty, dan valuer. Extra 10% tu la anda boleh guna.

calculator

2) Pembelian rumah bersama

Ini kes rumah yang beli ada lebih satu nama selalunya suami isteri yang buat join loan. Jumlah tetap sama iaitu: Jumlah pengeluaran adalah perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah.

ATAU semua simpanan Akaun 2 masing-masing, tapi ikut jumlah maksimum yang dibenarkan.

Contoh, boleh keluarkan RM60,000, masing-masing sepatutnya RM30,000 (suami dan isteri).

Akaun 2 suami: RM40,000

Akaun 2 isteri: RM25,000.

Jadi, Akaun 2 isteri boleh keluarkan semua iaitu RM25,000 sebab kurang daripada RM30,000

Tapi akaun si suami hanya setakat RM35,000 sahaja sebab campur dua-dua akaun dah cukup RM60,000.

3) Pembelian TUNAI

Siapa beli tunai best sikit, sebab boleh keluarkan ikut harga harga rumah ditambah pulak dengan 10% extra.

Contoh harga rumah RM300,000, tambah 10% = RM330,000 boleh dikeluarkan.

Kalau tak cukup, boleh keluarkan semua Akaun 2 tu.

“Macam mana cara apply KWSP untuk beli rumah?”

Ok, sekarang anda dah tau syarat, kelayakan, dan jumlah yang boleh dikeluarkan, jadi macam mana nak apply ni?

Bila semua syarat anda pasti anda lepas, sediakan dokumen yang lengkap. Kalau dokumen anda lengkap, seminggu ja dah boleh dapat duit anda tu.

Dokumen yang diperlukan:

  1. Borang Pengeluaran KWSP 9C (AHL)(D5)
  2. Salinan dokumen pengenalan diri (jika bukan pemegang Mykad)
  3. Maklumat Akaun bank (Ahli digalakkan membawa buku akaun bank / penyata akaun bank / salinan akaun semasa membuat permohonan pengeluaran)
  4. Borang KWSP 3 (pindaan) – jika pengecaman cap ibu jari gagal di kaunter / permohonan melalui pos

Dokumen sokongan:

  1. Sale and Purchase Agreement
  2. Offer Letter Loan rumah anda
  3. Dokumen-dokumen lain yang diperlukan mengikut kes pembelian

Setiap kes pembelian, dokumen adalah berlainan. Kalau beli secara tunai, lagi banyak dokumen yang diperlukan. Sebaiknya, pergi dulu ke KWSP untuk dapatkan list dokumen untuk kes anda.

Setelah settle semua, dah submit semua dokumen, tunggu je bayaran. Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank anda dengan syarat :-

  • Ahli mempunyai akaun bank yang aktif dengan panel KWSP yang dilantik; DAN
  • Nombor pengenalan diri ahli adalah sama dengan rekod bank
  • Bayaran dibuat dalam matawang Ringgit Malaysia (RM)
  • Sekiranya bayaran tidak berjaya dikreditkan ke dalam akaun bank ahli, bayaran akan dibuat melalui Cek Jurubank

Jadi, tak perlu risau la kena tipu ke apa ke.

Kalau yang tinggal sementara di luar negara, mungkin bekerja di sana, bayaran adalah melalui Draf Bank Asing.

warning

AMARAN. Pastikan anda tak buat benda-benda di bawah ni. Saya terpaksa ambil full statement untuk rujukan anda.

Kegagalan Mengembalikan Amaun Yang Tidak Digunakan Bagi Maksud Pengeluaran

Sekiranya pemohon tidak menggunakan bayaran pengeluaran bagi maksud pengeluaran dibuat, pemohon dianggap telah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi RM2,000.00 atau kedua-duanya [Seksyen 58A, Akta KWSP 1991 (Pindaan) 2007]

Membuat Kenyataan Tidak Betul Atau Tidak Benar Atau Mengemukakan Dokumen Palsu

Sekiranya pemohon memberi kenyataan yang tidak betul atau tidak benar atau mengemukakan dokumen palsu, pemohon dianggap telah melakukan kesalahan dan sekiranya disabitkan pemohon boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya [Seksyen 59, Akta KWSP 1991 (Pindaan) 2007]

Pembelian Bukan Untuk Tujuan Kediaman

Pengeluaran perumahan ini tertakluk kepada syarat dan prosedur semasa dan sekiranya mana-mana transaksi yang dikesan oleh KWSP yang melibatkan pindahmilik kurang daripada satu (1) tahun, KWSP berhak untuk menolak permohonan pengeluaran atas alas an ia mengandungi unsur pembelian bagi tujuan pelaburan dan bukannya bagi tujuan kediaman sepertimana keperluan Akta KWSP.

“Apa lagi yang boleh guna KWSP?”

Ini sekadar tambahan daripada saya. Selain daripada beli rumah, bina rumah, bayar PTPTN, banyak lagi kategori pengeluaran KWSP yang mungkin anda belum tahu.

Sini saya senaraikan kategori pengeluaran KWSP direct dari website mereka:

  • Age 50 Years Withdrawal
  • Age 55 Years Withdrawal
  • Age 60 Years Withdrawal
  • Withdrawal to Reduce / Redeem Housing Loan
  • Incapacitation Withdrawal
  • Leaving Country Withdrawal
  • Education Withdrawal
  • Pensionable Employees Withdrawal And Optional Retirement Withdrawal
  • Members’ Investment Scheme
  • Withdrawal to Purchase / Build a House
  • Withdrawal Of Savings Of More Than RM1 Million
  • Housing Loan Monthly Installment Withdrawal
  • Death Withdrawal
  • Health Withdrawal
  • Hajj Withdrawal
  • Flexible Housing Withdrawal
  • PR1MA Housing Withdrawal

Kalau ada yang kena dengan niat tu, boleh la try tanya KWSP macam mana caranya. Yang saya pernah try tanya cuma rumah dan PTPTN.

Untuk bayar installment bulanan perumahan pun saya ada tanya. Untuk kes ni, KWSP akan kredit ke loan akaun anda.

Kalau yang dah ada rumah, nak buat pengeluaran pengurangan baki loan pun boleh. Ada kat dalam list di atas tu.

Untuk kes pengurangan ni syarat lebih kurang ja, seperti rumah pertama atau kedua saja, ketiga memang tak dibenarkan.

Yang best, boleh keluarkan untuk kurangkan baki loan pasangan anda. Tak kisah anda join loan atau pun tak, yang penting ada bukti hubungan la, surat kahwin tu. Anda boleh apply setahun sekali.

Berapa banyak yang boleh keluarkan? Boleh keluarkan sampai loan anda habis. Kalau baki loan ada lagi RM100,000, boleh ja keluarkan RM100,000 tu atau pun semua Akaun 2 kalau tak cukup RM100,000. Tapi kalau lebih, takat RM100,000 ribu je la.

Bayaran akan dikreditkan ke loan akaun anda.

BACA LAGI: Cara Apply Skim MyDeposit 2018

Kesimpulan

Pengeluaran KWSP ini sangat berguna untuk yang tahu caranya. Saya yakin, ramai yang belum tahu cara dan kategori pengeluaran yang dibenarkan. Nak beli lori, renovate rumah, dan banyak yang pelik-pelik jugak soalan saya dapat.

Mungkin syarat dan dokumen untuk pengeluaran KWSP ni agak leceh, tapi kalau anda fikir semula, walaupun leceh tapi berbaloi sebab boleh dapatkan semula deposit yang kita keluarkan.

Sebenarnya tak susah mana pun. Dapatkan je check list, dokumen apa yang diperlukan. Buat dapatkan satu persatu. Anda ada banyak masa untuk settlekan, bukan 3 minggu, tapi 3 tahun selepas sign SPA.

Lepas ni jangan dok tanya kaunter KWSP tu dah, boleh ke tak keluar untuk renovate rumah. Confirm tak boleh. Dah bagitau kat atas tu.

Jadi, dengan artikel ini saya harap sedikit sebanyak dapat beri pencerahan kepada yang masih keliru berkenaan dengan pengeluaran KWSP ni terutama untuk kes-kes melibatkan hartanah ni.

 

Rujukan: KWSP