Tips & Tricks

Encik Zul ingin jual rumahnya, TAPI disekat, Rupa-Rupanya…

Encik Zul ingin jual rumahnya, TAPI disekat, bila pergi pejabat tanah rupa-rupanya geran rumahnya dimasukkan/didaftarkan dalam kaveat persendirian. Terkejut Encik Zul (bukan nama sebenar) sebab dia tak pernah tahu tentang kaveat, dia tak tau pun kalau kaveat tu dia tak boleh jual rumah.

 

 

Ramai yang tak tahu wujudnya istilah kaveat atau surat protes ni. Bila geran rumah anda didaftarkan kaveat, anda tidak boleh buat sebarang urusan atas rumah anda, jual ke, sewa ke, tak boleh! Sampai bila? sampai pihak yang kaveat rumah anda batalkan kaveat tu, atau anda mohon pembatalan, atau tunggu tamat tempoh kaveat (bertahun). Jom kita tengok jenis-jenis kaveat yang ada dan macam mana nak kasi setel

Jenis-jenis Kaveat

1) Kaveat Pendaftar (Registrar’s Caveats): Kaveat yang dimasukkan (didaftarkan) oleh Pendaftar Tanah ke atas Dokumen Hakmilik (Document of Title).

Kaveat ini selalunya untuk urusan rasmi, untuk melindungi sesuatu hartanah atas faktor yang mencurigakan. Contohnya berlaku sesuatu kes jual beli, tapi agak mencurigakan, jadi Pendaftar akan kaveat untuk melindungi hak pemilik, atau untuk siasatan rasmi.

2) Kaveat Persendirian (Private Caveats): Kaveat yang boleh dimasukkan oleh individu atau badan persendirian yang mempunyai kepentingan ke atas sesuatu tanah tersebut.

Kaveat paling tak best. Sebab sesiapa sahaja boleh masukkan geran anda bawah kaveat ni. Individu yang ada bukti bertulis yang melibatkan hartanah anda, boleh buat kaveat bawah kategori ini. Contohnya, pembeli rumah yang dah bayar deposit, tapi disebabkan urusan jual beli yang lama, dia kaveat rumah anda sebab takut anda tipu dia. Contoh yang lain, anda berhutang dengan sesorang, orang tu kaveat rumah anda sebab nak tuntut hutang. Contoh paling tak best, individu yang tidak bertanggungjawab, kaveat rumah anda menggunakan surat akuan palsu.

3) Kaveat Pemegang-Lien (Lien-Holders’ Caveats): Kaveat yang dimasukkan oleh individu atau sebuah badan yang mana memegang dokumen hakmilik sebagai cagaran untuk tujuan tertentu seperti pemberian pinjaman (contohnya bank).

Kaveat jenis ni selalu dilakukan oleh pihak bank untuk melindungi kepentingan bank sebagai pemberi pinjaman. Contoh anda ada buat personal loan, tapi tak bayar, jadi pihak bank akan kaveat rumah anda sampai anda setelkan loan tu.

4) Kaveat Amanah (Trust Caveats): Kaveat ini hanya dimasukkan oleh Pendaftar terhadap sebarang tanah atau kepentingan yang dimiliki oleh seseorang individu atau badan sebagai pemegang amanah.

Kebanyakkan kes yang pemilik rumah hadapi adalah kaveat pensendirian dan kaveat pemegang-lien. Kaveat pemegang-lien atau bank ni senang setel, bayar loan, setel. Atau untuk kes lelong, mahkamah akan keluarkan surat batal kaveat setelah rumah berjaya dijual kepada pemilik baru. Macama mana dengan kaveat persendirian?

Cara Selesaikan Kaveat

Pertama, anda perlu buat carian terlebih dahulu di pejabat tanah kalau anda tidak tahu hartanah anda ada kaveat atau tak. Carian rasmi RM50 dan carian persendirian (untuk kegunaan sendiri) RM30. Sebaiknya buat carian rasmi jika bercadang untuk menjual hartanah anda.

Jika ada kaveat, anda boleh memohon pembatalan kaveat dengan bayaran RM100. Pihak yang membuat kaveat akan diberi masa 2 bulan untuk fight pembatalan kaveat. Kalau takda respon, kaveat akan batal dan anda boleh la jual rumah anda. Tapi, kalau pihak yang kaveat lawan, anda akan lawan di mahkamah. Kalau pihak kaveat menang, kaveat akan diteruskan sampai anda setelkan masalah anda dengan pihak kaveat. Kalau anda menang, anda boleh menuntut pampasan kerugian kerana menghalang urusan jula beli hartanah anda.

Contoh carian rasmi. Sumber: mohdelam.com

Kesimpulan

Kalau kena kaveat persendirian ni agak leceh, tambah-tambah orang yang kaveat tu buat surat palsu. Tapi kaveat diperlukan jika anda sebagai pihak yang berkepentingan untuk melindungi hak anda. Jadi, nasihat saya, sebelum anda jual rumah, buat la carian dahulu, kita tak tau kalau ada pihak yang berniat jahat, atau hartanah kita bermasalah. Carian rasmi juga boleh memberi anda info-info yang lebih detail tentang hartanah anda atau sekatan lain selain kaveat.

 

Rujukan:

  1. mohdelam.com
  2. Penyelesaian Hartanah
  3. MN Propety Management

Leave a Reply