Baru-baru ni, Menteri KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), YB Zuraida mencadangkan untuk melihat semula kemungkinan melaksanakan perumahan murah bagi rakyat kelas B40 di tapak Highland Tower yang runtuh 25 tahun lepas. Persoalannya, jika anda diberi peluang untuk membeli, mahukah anda tinggal di Highland Tower?

Highland Tower

Sejarah Highland Tower

Highland Towers merupakan 3 buah blok kondominium yang terletak di Bukit Antarabangsa, Ampang. 24 tahun dahulu pada tanggal 11 Disember 1993, sebuah dari 3 buah blok tersebut runtuh secara tiba-tiba dan menyebabkan kematian seramai 48 orang dalam tragedi yang menyayat hati tersebut.

Highland Towers ini adalah 3 blok 12 tingkat yang dibina berperingkat. Ianya dibina dari tahun 1974 hingga tahun 1982. Yang runtuh adalah Blok 1 setelah hujan 10 hari berturut-berturut.

Bagaimana Ia Boleh Runtuh?

Oleh kerana ianya adalah kawasan berbukit sudah pasti ada aliran sungai berhampiran lembah. Terdapat Sungai Timur yang terletak berdekatan Highland Tower. Ianya adalah sungai yang kecil. Tetapi air sentiasa mengalir dari Sungai tersebut ke kawasan pembinaan Highland Tower.

Oleh yang demikian, kontraktor Highland Tower, membina saliran untuk mengalirkan air tersebut keluar dari kawasan pembinaan.

Pada tahun 1991, sebuah lagi pembinaan di kawasan tinggi bukit dilakukan. Ia dibina di belakang Highland Tower yang dah siap dibina dan di duduki. Pembinaan tersebut melibatkan penebangan pokok dan “clearing” kawasan tersebut daripada rumput dan rumpai yang menutup tanah kawasan tersebut.

Inilah permulaan tragedi.

Tanpa penutupan tanah oleh rumput, tanah tersebut lebih mudah terhakis dan ia biasanya akan menyebabkan tanah runtuh.

Tambah parah lagi, akibat dari pembinaan projek baru di belakang Highland Tower itu, air dari kawasan itu dialirkan ke sistem saliran yang sama digunakan oleh Highland Tower. Malangnya sistem saliran tersebut tak boleh lagi menanggung jumlah air yang besar!

Akhirnya, setelah 10 hari hujan di kawasan tersebut, tanah di kawasan tersebut tak boleh lagi menanggung beban tersebut lalu tanah runtuh pun terjadi dan membawa Blok 1 Highland Tower bersama-sama 48 nyawa terkorban dalam tragedi tersebut!

Lokasi Peminat Mistik Dan Paranormal

Sekarang, Highland Tower dihuni oleh gelandangan dan penagih dadah. Dan ia nya menjadi tempat popular di kalangan peminat mistik dan paranormal.

Acapkali ianya dilawati oleh kumpulan-kumpulan paranormal tempatan, termasuk lah mereka yang agak nakal. Bahkan ada filem yang dibuat khas menceritakan tentang Highland Tower!

Kekurangan Tanah Dalam Kuala Lumpur

Idea YB Zuraida untuk membina semula kawasan Highland Tower sebagai perumahan B40 adalah idea yang menarik dan baik. Kalau dilihat kepada fakta dan bukannya kehadiran hantu dan paranormal, ianya adalah pilihan yang bijak.

Tanah di dalam kawasan Lembah Kelang sudah makin berkurangan dan sangat mahal. Nilai tanah di Bukit Antarabangsa pula dijual dalam RM180/kaki persegi.

Ianya agak murah dibandingkan di kawasan lain. Ini kerana akibat dari kes Highland Tower, kebanyakan bank tak mahu membiayai pembelian hartanah di kawasan tersebut walaupun dah ada kajian geologi terbaru yang meyakinkan kawasan tersebut selamat.

Negara Lain Juga Biasa Guna Semula Tanah

Jangan ingat kita sahaja yang guna semula tapak tanah yang kontorversi. Negara lain juga ada menggunakan semula tanah. Contohnya, Singapura menggunakan semula tanah dari tapak perkuburan Bukit Larangan sebagai pembinaan projek perumahan dan komersil yang baru.

Untuk tanah bekas runtuhan pula, kami belum jumpa lagi sebarang projek luar negara yang berkaitan. Walaupun begitu, kita tak boleh menolak idea ini kerana dengan teknologi dan kajian yang betul, tanah itu boleh di guna semula.

Cadangan Ke Depan

Untuk memastikan projek ini berjalan, kajian geologi perlu dilakukan untuk mengkaji struktur tanah. Amatlah penting untuk pastikan “structural integrity” tanah tersebut sesuai untuk di buat kawasan perumahan.

Dalam salah satu syarat pembinaan untuk kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA) adalah tiada pembinaan boleh dilakukan di cerun bukit melebihi 10 darjah. Jadi, pembinaan projek baru ini perlu mengikuti piawaian yang ketat EIA tersebut.

Selain itu, sewaktu pembinaan juga, amatlah penting untuk kontraktor mengikut spesifikasi dan syarat yang ditetapkan.

Berbaloi Dan Munasabah

Kami di KakiProperty menyokong penuh usaha YB Zuraida apatah lagi usaha tersebut adalah untuk memberi peluang rakyat dalam kategori B40 memiliki rumah sendiri yang selesa.

Anda pula bagaimana? Adakah anda, jika diberi peluang untuk membeli kediaman di tapak asal Highland Tower dengan harga murah, adakah anda mahu tinggal di sana?

Sumber: Highland Tower (Wikipedia), Robohkan Highland Tower (Mstar), Zuraida mahu bangunkan semula Highland Towers (FMT)