Baru-baru ni kecoh di media sosial tentang Menteri Belia Dan Sukan kita yang muda belia mengeluarkan kenyataan bahawa Ketuanan Melayu sudah berakhir. Hari ini kami mahu mengulas tentang isu tersebut dalam sudut pemilikan hartanah bumiputera.

Sudut Pandang Ketuanan Melayu

Ketuanan Melayu yang kita maksudkan bukanlah “supremacy” atau hubungan Tuan dengan Hamba. Jauh sekali! Yang dimaksudkan dengan Ketuanan Melayu adalah  pemilikan dan hak orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini dan segala hak-hak istimewa yang berkaitan dengannya yang dilindungi Perlembagaan.

Hak dan kedudukan Orang Melayu sebagai orang asal Tanah Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia jelas ditulis di dalam Perlembagaan Perkara 153. Saya tak fikir perlu untuk salin semula ianya di sini kerana amat pelik jika seorang menteri dari parti “peribumi” tak membaca dan memahami isi dalam Perlembagaan.

Kalau dicari “Ketuanan Melayu” di google asyik jumpa ini,

Tidak pernah pula dalam kehidupan kita rakyat Malaysia yang harmoni dan berkerjasama dengan baik ini dari sudut kerja bahkan berkawan dan berjiran yang menganggap kaum lain adalah “inferior” kepada orang Melayu bahkan kebanyakan kita juga berkerja makan gaji dan bahkan berniaga sama-sama dengan rakan dan sahabat kita dari kaum lain.

Yang dimaksudkan oleh “Ketuanan Melayu” bukanlah bentuk apartheid seperti terjadi di Afrika Selatan tetapi adalah bentuk penjagaan hak pribumi dan juga tindakan untuk pembentukan sosial masyarakat.

 

Pemilikan Hartanah Bumiputera

You buy the land, you own the country

Ini adalah quote yang saya baca di dalam satu hantaran di Facebook. Maksudnya jelas. Jika kita memiliki hartanah, maka kita lah tuan kepada tanah tersebut. Jika orang Melayu dikatakan memiliki “Ketuanan” maka seharusnya orang Melayu wajar memiliki lebih daripada 50% pemilikan hartanah di Malaysia.

Jika hak orang Melayu di jaga di atas kertas bernama Perlembagaan, maka kelangsungan bangsa orang Melayu pula dijaga di atas kertas di namakan Geran (geran pemilikan hartanah). Ini lah bukti jelas kita lah yang menjadi pemilik bukan hanya atas retorik sahaja.

Tapi malangnya ia tak terjadi. Keratan akhbar di atas adalah dari tahun 2015. Pada tahun tersebut, disebutkan pemilikan hartanah bumiputera hanya 39.5% sahaja dari jumlah keseluruhan. Sedangkan orang Melayu dan Bumiputera secara keseluruhannya adalah lebih dari 60% populasi rakyat Malaysia sesuai statusnya sebagai orang asal Tanah Melayu.

Nampak sangat ketidakseimbangan yang terjadi. Nak jadi kan analogi dalam ayat yang ringkas adalah : “Rumah ini bukan kita punya. Bukan pada geran.”

Dasar Ekonomi Baru Dan Dasar Kerajaan Terdahulu

Dasar Ekonomi Baru(DEB) dibina sebenarnya untuk menyelesaikan hal ini iaitu ketidakseimbangan kekayaan.  Amatlah bahaya jika ketidakseimbangan kekayaan ini berterusan. Orang Melayu sebagai peribumi dan yang merupakan majoriti rakyat akan merasa ketidakadilan. Kita akan merasakan yang kenapa bila dikata ini adalah tanah kita tapi kita susah.

Ramai mahukan pembentukan bangsa Malaysia dan menolak konsep etnik, tetapi boleh kah kita menghalang pemikiran dan rasa sakit hati itu wujud kalau ketidakseimbangan itu memang betul wujud dan tidak di atasi?

Tun Razak dengan DEB. Najib Razak dengan GTP

DEB ini sendiri dilaksanakan selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang titik tolak nya bukan hanya faktor politik tetapi adalah faktor ketidakseimbangan yang saya katakan.

Hal ini bukan hanya terjadi di Malaysia tetapi akibat ketidakseimbangan yang sama, maka terjadi nya Tragedi 1998 di Indonesia yang menyaksikan ribuan nyawa terkorban. Hal ini juga pernah terjadi kepada kaum kulit putih di Afrika Selatan kerana orang kulit hitam sebagai peribumi merasa ketidakadilan terjadi kepada mereka. Malah sebenarnya ketegangan masih lagi terjadi di sana!

Jadi antara dasar DEB adalah tentang untuk menyelesaikan kemelut ketidakseimbangan ini yang antaranya adalah pemilikan hartanah bumiputera.

Kerajaan terdahulu sebelum 9 May giat meneruskan kesinambungan DEB ini. Saya sendiri amat menyokong dasar yang di lakukan walaupun ada loophole di sana sini.

Sebagai contoh, untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, jalannya adalah meningkatkan pendapatan atau gaji kita sendiri. Caranya ada 2 iaitu sama ada berniaga hingga berjaya atau mempunyai taraf pendidikan dan sijil profesional yang bernilai tinggi.

Sebab itu wujudnya Teraju untuk membantu usahawan bumiputra dalam perniagaan berimpak tinggi dan juga Peneraju untuk membantu warga profesional mendapat sijil profesional bernilai tinggi.

Dengan itu secara tak langsung pendapatan orang Melayu juga akan naik dan mereka ada kekuatan untuk akhirnya memiliki hartanah.

 

Betulkah Wujudnya Ketidakseimbangan?

“ahhh. Nak apa lagi? Asyik cakap tak adil. Ramai je kawan aku orang Melayu dah senang sekarang!” – Ini mungkin alasan kita biasa dengar bila kita bawakan topik ini. Tapi hakikatnya, statistik tidak menipu.

 1. Pemilikan Hartanah Di Kawasan Bandar.

Graf ini diambil dari arkib berita JPPH. Dengan jelas yang pemilikan hartanah bumiputera di kawasan bandar hanya 5% sedangkan 58% dari 73% penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah dari Bumiputera!

2. Pendapatan Isi Rumah Dan Gaji

Data diatas adalah pada tahun 1990-2004. Dan ia nya jelas menunjukkan ketidakseimbangan dari segi gaji dan pendapatan. Data di bawah pula adalah lebih baru iaitu pada tahun 2014. Ada peningkatan tetapi orang Melayu masih ketinggalan dari bangsa lain.

Dr Khalid yang sekarang menjadi penasihat ekonomi PM juga pernah menulis dalam bukunya yang menyatakan bahawa gaji diterima perkerja Melayu lebih rendah berbanding kaum lain.

Ini pula dinyatakan sendiri oleh Menteri KDN sekarang suatu masa dahulu:

Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan bumiputera. -Tan Sri Muhyidin Yassin.

3. Perniagaan Dan Pemilikan Ekuiti

Ini pula adalah pemilikan terhadap modal saham syarikat berhad. Data ini adalah data lama tetapi ia cukup menunjukkan hujah yang saya cuba nyatakan.

4. Penguasaan Ekonomi Keseluruhan

Kalau dilihat pada jadual di atas, yang secara keseluruhan nya orang Melayu jauh ketinggalan berbanding bangsa lain.

 

Kenapa Terjadinya Ketidakseimbangan Kekayaan

“Bukan semua orang berlari dari petak yang sama”

Fasa Sebelum Merdeka Dan Awal Kemerdekaan.

Kita kena balik semula kepada sejarah. Ketika zaman penjajahan, orang Melayu di letakkan dalam kedudukan yang rendah. Orang Melayu cuma tinggal di kampung dan menjadi pesawah, petani dan penternak. Dasar British juga cuma mahukan “anak petani yang lebih bijak sedikit berbanding ayahnya yang seorang petani.”

Orang Melayu tidak diberi peluang kecuali anak-anak bangsawan yang dihantar belajar kemudiannya menjadi pegawai daerah di bawah British. Selama lebih 100 tahun kolonialisasi ini, orang Melayu mundur.

Orang Cina pula dibawa oleh British untuk mengusahakan lombong(yang sebelum ini dimiliki Bangsawan Melayu). Dari daerah perlombongan ini maka wujudnya bandar maju seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan lain-lain. Orang Cina setelah mereka datang ke sini, mereka di beri peluang dan ruang oleh British untuk berniaga dan membangunkan bandar lantas di situ mereka dapat mengumpulkan kekayaan.

Orang India pula dibawa oleh British dan bukannya Parameswara untuk kebanyakan mereka berkerja di ladang dan estet.

Adakah kita menyalahkan bangsa lain? TIDAK!

Mereka berbuat sepertimana orang lain. Mahukan kebaikan untuk keluarga. Jadi tak kan lah kita nak salahkan mereka pula. Bukan mereka yang meminta di bawa ke sini.

Tetapi wajarlah untuk mengatakan yang mereka ini mendapat “head start” lebih awal berbanding orang Melayu. Mereka bermula di petak mula 100m kedepan dengan naik Ducati berbanding orang Melayu yangbermula lewat 100m di belakang dan hanya naik RXZ yang dinamakan DEB dan GTP itu.

 

Sejurus Sebelum DEB Dan Sejurus Selepasnya.

Nasib orang Melayu tidaklah begitu bagus selepas kemerdekaan 31 ogos 1957. Negara masih lagi baru terbina dan banyak isu yang perlu diselesaikan. Sebelum DEB, nasib orang Melayu tidak lah terus meningkat. Di bawah adalah data yang di dapati.

Komposisi Perkerjaan Mengikut Etnik

Komposisi Perkerjaan Mengikut Etnik(sambungan)

Perbezaan Gaji Mengikut Kaum Tahun 1967

Data-data  di atas adalah jenis perkerjaan dan gaji mengikut komposisi kaum pada tahun 1967 sejurus sebelum 1969 yang menyaksikan pertumpahan darah.

Saya ingin bertanya kepada YB Menteri, jika ini adalah antara faktor kenapa terjadinya sakit hati dan rasa tak senang, adakah YB Menteri masih lagi tak mahu memperjuangkan hak orang Melayu supaya dapat SEMUANYA berada “on the same playing field”?

Masa Sekarang

Alhamdulillah. Bangsa Melayu sudah mula membaik. Dahulu mak saya cerita kalau masuk universiti adalah satu berita besar. Perlu dibuat kenduri keraian. Tetapi sekarang rata-rata setiap isi rumah orang Melayu pasti ada seorang yang lulusan universiti dan berkerja profesional.

Orang Melayu juga meningkat dengan baik. Ramai pula yang hebat dan menerima macam-macam anugerah. Adakah ini boleh di capai tanpa DEB?

Senarai Melayu Ulung.

Walaupun begitu, kita masih jauh lagi nak mencapai kesaksamaan. Ini ditambah lagi dengan kajian demi kajian yang menunjukkan orang Melayu juga di diskriminasi dari sudut perkerjaan dan gaji[sumber].

Boleh kah seorang pelari mengejar yang di depan dan mahu berlari beriring tangan sekali sedangkan sudahlah dia jauh di belakang dan dia hampir dapat mengejar tetapi kemudiannya kakinya di ikat pula dengan pemberat. Macam mana pemilikan hartanah bumiputera akan meningkat kalau kaki pelarinya di ikat?

Jadi kita masih perlukan masa. YB Menteri perlu faham yang kita memerhatikan masa dalam konteks berbeza. Izinkan saya sambung di bawah.

Dah Lebih 60 Tahun Masih Perlukan Tongkat?

Saya cukup benci istilah tongkat. Ianya menghina bagi saya. Ianya bukan tongkat tetapi adalah hak yang ditulis jelas dalam Perlembagaan. Kenapa pula fikir yang ianya macam tongkat pula?

Tetapi jika YB Menteri pun berfikiran yang sama, maka di sini saya jelaskan sudut pandang saya sebagai seorang bekas pelajar dan pernah berkerja sebagai seorang geologist.

Seorang geologist memandang masa sebagai relatif. Sebagai contoh tempoh 50,000 tahun dianggap masih muda oleh seorang geologist dengan mengandaikan bumi ini berumur 4.5bilion tahun.

Begitu juga dengan Malaysia. Kita bukan berbicara tentang umur seorang individu manusia. Kita berbicara umur negara. Dan silap paling besar adalah mengandaikan ianya 60 tahun sedangkan “affirmative action” bernama DEB itu hanya dilaksanakan pada tahun 1971. Maka ianya hanya 47 tahun sahaja dan kalau kita ikut relatif pada umur negara, ianya masih seperti anak belasan tahun.

Jadi, YB Menteri, wajarkah anak belasan tahun yang mungkin baru 11 atau 12 tahun ini di biarkan bertanding tinju dengan petinju yang lebih dewasa? Mana nak sama?

Habis Tu Sampai Bila?

Boleh saya kata, hak itu diperlukan sampai bila-bila kerana ianya BUKAN TONGKAT tetapi memang dah termaktub dalam Perlembagaan.

Tetapi jika bukan itu yang YB dan rakan-rakan mahu dengar, boleh lah saya sarankan ianya dipotong atau diganti lain beransur-ansur hingga kita berada dalam playing field yang sama.

 

Equity Bukan Equality

Saya tidak menyokong sama rata-sama rasa. Saya menyokong keadilan perlu diletakkan tempatnya.

Jelas segala hujah saya di atas menyatakan, walaupun orang Melayu dah jauh ke depan berbanding selepas zaman penjajahan, tetapi orang Melayu masih belum berada dalam “level playing field” yang sama.

Ini bermaksud, tiada diskrimanasi pada gaji dan semua mendapat pendapatan mengikut kompetensi masing-masing. Ini bermaksud jurang pendapatan adalah rendah. Ini bermaksud pemilikan hartanah bumiputera adalah sekurangnya 50% dari jumlah keseluruhan pemilikan hartanah Malaysia.

Saya tak suka kan perkataan tongkat. Tetapi jika itu lah diperlukan, maka orang Melayu ini masih perlukan tongkatnya juga. Minta maaf, mungkin bukan lagi tongkat tetapi Ducati pula perlu di berikan. Barulah boleh sama berjalan beriring tangan seperti idealisma yang YB Menteri impikan.

 

Hak Melayu Perlu Terus DiPerjuangkan!

Saya ulang kembali quote di perenggan atas sekali :

You buy the land, you buy the country

Selain saya secara peribadi rasa terhina dengan istilah tongkat, saya mempertahankan isu Melayu ini kerana ianya adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan. Perlembagaan hanyalah helaian kertas tak berharga kalau isi nya tak dijunjung dan tidak dipertahankan.

Jadi bagi saya, untuk orang Melayu berdiri sama tara secara keseluruhannya (dan bukan hanya hujah”ramai kawan Melayu saya profesional, apa pula Melayu jatuh?”), maka ia nya kena bermula dari sokongan diberikan kepada orang Melayu dan kekuatan hati bangsa Melayu sendiri untuk berjaya.

Saya menyeru supaya dasar terdahulu terutama peningkatan profesional Melayu melalui Peneraju dan peningkatan usahawan Melayu berimpak tinggi melalui Teraju wajib DIPERJUANGKAN.

Bilamana 2 faktor ini meningkat, sudah tentu logiknya, pendapatan meningkat. Dan dengan itu orang Melayu akan ada kekuatan untuk membeli dan memiliki hartanah. Dan seterusnya membantu anak bangsa yang lain.

Kerajaan yang mengawal dan menetapkan dasar juga teruskanlah dasar yang membantu Bumiputera selama ini untuk memiliki hartanah. Ditukar nama pun tidak apa, yang penting jaga dan baikilah dasar tersebut.

Apalah gunanya kalau kita kata kitalah pemilik Ketuanan kalau kita pun hanya menyewa sahaja dan belum lagi memiliki tanah di tanah tumpah nenek moyang kita.

*Nota : Ini adalah pendapat peribadi penulis dan bukan pendapat rasmi portal ini.

Rujukan:

  1. Perlembagaan Persekutuan [http://www.kptg.gov.my/sites/default/files/article/perlembagaanpersekutuan.pdf]

  2. Ketidakseimbangan Pencapaian Ekonomi[https://www.scribd.com/doc/33451388/Ketidakseimbangan-Pencapaian-Ekonomi-Antara-Kaum-Di-Malaysia]

3. H, Charles (1975), Ethnic and Social Stratification In Peninsular Malaysia.
https://faculty.washington.edu/charles/new%20PUBS/A10.pdf 

  1. Pemilikan Hartanah Kawasan Bandar. -Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta. [https://www.jpph.gov.my/V2/download_akhbar.php?versi=1&no=300&fbclid=IwAR1xS3JIH12uHsYRV0pfKd3Yq-NGQDRsz1YlOj2VJDxNe4QQfbZJQSRdS3c]

  2. Bajet 2016: Memperkasa Agenda Bumiputra [http://www.penerangan.gov.my/dmdocuments/memperkasa_agenda_bumiputera/files/downloads/memperkasa_agenda_bumiputera.pdf]

  3. Perangkaan Wanita Keluarga Dan Masyarakat [https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Penerbitan/Buku%20Perangkaan/Perangkaan%202016.pdf]

  4. Utusan Malaysia [http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20141008/re_05/Dr-Muhammed-dan-The-Colour-of-Inequality-Pesta-Oktoberfest-di-Selangor]