Tengah plan nak jual rumah? Sekejap. Dah berapa lama tu anda beli rumah anda? Kalau baru beli, pastikan anda tahu tentang Cukai Keuntungan Harta dan Tanah (CKHT) atau selalu orang sebut RPGT (Real Property Gain Tax). Paling penting tahu cara kira kos RPGT.

“Eh, apa benda RPGT ni, first time dengar”

RPGT ni adalah cukai yang dikenakan ke atas keuntungan selepas pelupusan hartanah anda contohnya rumah teres, kondominium, pangsapuri, ladang, tanah kosong dan lain-lain lagi yang melibatkan hartanah.

Kadar cukai adalah 0% sehingga 30% mengikut tempoh pegangan hartanah anda tu.

Tempoh pegangan dikira bermula daripada tarikh dalam perjanjian jual beli (SPA) untuk hartanah anda.

Fuh 30% macam banyak je kan?

Tapi, cukai ni dikenakan ke atas keuntungan BERSIH selepas ditolak dengan kos-kos yang terlibat dalam proses perlupusan hartanah tersebut termasuk komisen agent. Kos renovate pun boleh, asalkan anda ada simpan resit-resit kos renovate tu.

Semua pihak layak dikenakan cukai, tak kira individu ke, syarikat ke, pendek kata sesiapa sahaja yang mendapat keuntungan daripada pelupusan hartanah ni memeang akan dikenakan RPGT. Sebab tu kena tau cara kira kos RPGT ni.

BACA LAGI: Kos-kos Dalam Penjualan dan Pembelian Hartanah

So, macam mana cara kira kos RPGT ni?

Seperti yang saya maklumkan tadi, kadar RPGT ikut tempoh pegangan kan? Ok, kat bawah ni saya buat jadual khas untuk rujukan khas untuk pembaca kakiproperty.

jadual RPGT cara kira kos RPGT

Kalau anda rujuk jadual atas ni, memang senang cara kira kos RPGT.

Kita ambil satu contoh:

Encik Zairul telah membeli sebuah rumah pada tahun 2014 pada harga RM400,000 (termasuk kos guaman, duti setem, dan perolehan yang lain). Pada tahun 2018, Encik Zairul menjual rumahnya pada harga RM500,000.

Tempoh pegangan: 4 tahun

Kadar RPGT: 20% (individu)

Kos-kos jualan: RM30,000 (agen, peguam, renovation)

RM500,000 – RM400,000 – RM30,000 = RM70,000 (Keuntungan bersih)

RM70,000 – RM10,000 (RM10,000 ATAU 10%, yang mana lebih tinggi) = RM60,000

RM60,000 x 20% = RM12,000

Jadi, RPGT yang perlu dibayar Encik Zairul adalah RM12,000.

Eh, mesti ada yang pelik kenapa tolak RM10,000 atau 10% tu.

Ha, yang ni adalah pengecualian. Bagi pelupusan aset oleh individu, amaun pengecualian ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 atau 10% daripada keuntungan yang mana lebih tinggi mulai 1.1.2010.

Ada lagi pengecualian lain:

  • Pengecualian ke atas keuntungan daripada penjualan hartanah sekali dalam seumur hidup kepada individu.
  • Pengecualian ke atas keuntungan daripada penjualan hartanah antara ahli-ahli keluarga. Contohnya: Suami dan isteri, ibu bapa, anak-anak, datuk dan nenek, dan cucu.

Macam mana? Dah tau cara kira kos RPGT? Senang je kan untuk individu ni.

“Tu kalau dapat untung, kalau rugi macam mana?”

profit loss cara kira kos RPGT

Kalau anda rugi, kerugian yang anda alami bila jual hartanah bawah 5 tahun, boleh diserap kepada keuntungan yang boleh dikenakan cukai untuk pelupusan hartanah yang berikutnya.

Kalau anda jual rumah yang berusia 3 tahun pada tahun ini, anda rugi RM50,000.

Tahun depan anda jual rumah kedua anda yang berusia 5 tahun, dan untung bersih RM80,000.

Jadi, RM80,000 – RM50,000 (kerugian) = RM30,000 sahaja yang akan dikenakan cukai.

Saya harap perkongsian berkenaan RPGT ini dapat membantu anda untuk plan bila masa yang terbaik untuk anda dapatkan keuntungan maksimum daripada hartanah anda.

RUJUKAN: LHDN, JPPH