Imej ihsan dari Wake Up Malaya

Tanah runtuh Tanjung Bungah itu salah siapa?

Isu tanah runtuh di Tanjung Bungah nampaknya masih belum menemui tanda nokhtah. Masing – masing sibuk menunding jari ke sesama sendiri mencari pihak yang sanggup bertanggung jawab ke atas insiden ini. Buat sesiapa yang tak tengok berita, meh la saya ringkaskan serba sedikit tentang insiden ini:

  • Tapak projek pembinaan kondominium setinggi 50 tingkat berdekatan lereng bukit di Tanjung Bungah telah mengalami tanah runtuh
  • 11 mangsa didakwa tertimbus di bawah runtuhan cerunan bukit setinggi 35 meter
  • Tapak pembinaan projek ini terletak berdekatan dengan Teik Granite Quarry
  • Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak pernah meluluskan projek pembinaan kondominium di Tanjung Bungah ini
  • Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) memberi kelulusan kepada projek yang sama pada 30 Disember 2014 berdasarkan Garis Panduan Keselamatan Pembangunan Lereng Bukit 2012
  • Tapak itu dikategorikan sebagai Kategori II dengan purata cerun di bawah 20 darjah. Ketinggian tapak itu lebih rendah daripada 250 kaki
  • Isu tanah runtuh di Tanjung Bungah ini telah menimbulkan reaksi pelbagai pihak. Tak lupa juga ada pihak yang cuba menjadikan isu ini sebagai salah satu isu politik. Maklumlah, pilihan raya pun makin dekat kan…

Isu tanah runtuh bukan isu baru

Tanah runtuh di Tanjung Bungah bukanlah isu terpencil yang pertama kali berlaku di Malaysia. Kalau korang ‘Google’ ‘Tanah Runtuh di Malaysia’, korang akan jumpa betapa banyaknya insiden tanah runtuh yang berlaku di kawasan perumahan berdekatan lereng – lereng bukit.

Untuk kita memahami isu ini, pertama sekali kita kena faham sebab berlakunya tanah runtuh.

Punca berlakunya tanah runtuh

Tanah runtuh adalah satu proses geologi yang berlaku disebabkan oleh anjakan jisim batuan atau tanah. Anjakan jisim batuan atau tanah boleh berlaku atas pelbagai sebab. Antaranya adalah:

  • Aktiviti -aktiviti pembangunan dan pertanian di cerun – cerun bukit. Pokok – pokok di cerun bukit biasanya akan dipotong untuk memberi laluan kepada aktivit- aktiviti pembangunan dan pertanian. Bila hari hujan, tanah di cerun – cerun bukit ini akan lebih senang dibawa arus dan akhirnya menyebabkan tanah runtuh berlaku
  • Melombong pasir. Aktiviti melombong pasir di sungai yang tidak terkawal boleh menyebabkan tebing sungai runtuh. Hasilnya, arus sungai menjadi lebih deras dan rumah – rumah di tepi sungai akan terdedah kepada risiko tanah runtuh
  • Kecuraman dan kepanjangan cerun. Semakin curam dan panjang cerun, semakin deras air yang melalui cerun tersebut yang mana boleh mengakibatkan tanah runtuh
  • Aliran air bawah tanah. Aliran air bawah tanah boleh menyebabkan struktur tanah menjadi longgar dan boleh menyebabkan tanah runtuh

Sebenarnya banyak lagi punca – punca tanah runtuh yang saya tak senaraikan di sini. Apapun, kalau kita amati semua punca – punca di atas, hakikatnya semua menjurus kepada satu kata kunci iaitu ‘Struktur Tanah Yang Lemah’

Ada Pertanyaan?

Nyatakan tajuk serta soalan, dan Team KakiProperty akan cuba jawab pertanyaan anda.

Tapak projek dekat dengan Teik Granite Quarry

      Gambar ihsan Wake Up Malaya

Tapak projek kelolaan Taman Sri Bunga Sdn Bhd ini terletak tidak jauh dari Teik Granite Quarry. Dikhabarkan kuari ini masih aktif walaupun dikelilingi oleh beberapa tapak perumahan projek yang lain.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam satu petikan berita di MStar berkata:

“Tapak kuari itu melakukan letupan dua kali sebulan. Sebaik sahaja batu-batu itu diletupkan dari lereng bukit, ia akan dihantar ke tapak penghancuran dalam kawasan kuari untuk dihancurkan menjadi batuan kecil yang digunakan bagi tujuan pembinaan”.

“Kementerian itu berkata, pihaknya tidak menyokong permohonan itu kerana tidak ada zon penampan di antara projek pangsapuri dengan kawasan aktiviti kuari berhampiran seperti yang dikehendaki oleh Garis Panduan Tapak dan Pengezonan Industri & Kawasan Kediaman”.

“Aktiviti penggalian hanya 162 meter (m) dari tapak penghancuran dan antara 400m dan 500m dari tapak letupan”.

“Oleh itu, ia bukan persekitaran yang selamat dan damai bagi rakyat untuk hidup,” katanya.

Garis panduan keselamatan pembangunan lereng bukit

Bentuk muka bumi berbeza – beza. Garis panduan wajar diikuti tapi tidak boleh menjadi satu – satunya batu ukur yang menandakan sesuatu projek pembinaan itu akan selamat dibina dan diduduki atau tidak.

Projek ini telah dibantah oleh pihak JAS tetapi diluluskan  oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berdasarkan Garis Panduan Keselamatan Pembangunan Lereng Bukit 2012. Pihak JAS kemudian dilaporkan telah meluluskan dua projek lain yang juga terletak lebih kurang 500m daripada Teik Granite Quarry.

Jika korang tanya saya, saya amat menggesa pihak yang terbabit untuk mengkaji semua garis panduan ini supaya kes – kes tanah runtuh seperti ini dapat dikurangkan di Malaysia. Sesunggunya kita beruntung kes tanah runtuh di Tanjung Bungah ini terjadi ketika masih dalam proses pembinaan. Jika sudah ada penduduk, dengan aktiviti kuari yang masih aktif, tidak mustahil lebih ramai nyawa akan terkorban.

Apapun, takziah untuk keluarga dan kenalan mangsa tanah runtuh Tanjung Bungah. Diharapkan pihak terbabit dapat mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan lebih banyak projek – projek seperti ini terlepas dari pengamatan dan akhirnya mengakibatkan insiden yang tidak diingini seperti ini berlaku.

Rujukan:

  1. MStar
  2. Utusan
  3. Melayu Post
  4. Wake Up Malaya

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.