Pembeli sudah semak reputasi pemaju, sudah periksa rekod pemaju, sudah buat due diligence namun langit tidak selalunya cerah. Pemilikan kosong lewat daripada yang dijadualkan. Usah berduka kerana anda boleh menuntut ganti rugi iaitu LAD. Apa itu LAD?

L.A.D (Liquidated Ascertained Damages) (Gantirugi Kelewatan Yang Ditetapkan). LAD ialah ganti rugi / pampasan yang diberikan oleh pemaju kerana lewat membuat pemilikan kosong (Vacant Posession / Occupied Certificate) kepada pembeli dari tarikh yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli.

Jika kita membeli rumah yang masih dalam pembinaan, di bawah Akta Pemajuan Perumahan 1966, pemaju bertanggungjawab untuk membayar pampasan sekiranya lewat untuk membuat VP. Ada dua bentuk perjanjian mengikut jenis hartanah yang dibeli.

Untuk hartanah atas tanah (landed) akan mengguna pakai Jadual G. Tempoh yang diberi oleh pemaju untuk membuat VP ialah 24 bulan daripada tarikh SPA. tips : G – ground

Manakala bagi hartanah jenis apartment / kondominium akan mengguna pakai Jadual H. Tempoh untuk VP ialah 36 bulan dari tarikh SPA. tips : H – highrise

Ada Pertanyaan?

Nyatakan tajuk serta soalan, dan Team KakiProperty akan cuba jawab pertanyaan anda.

Namun perlu maklum, LAD ini diberikan kerana projek tergendala sahaja, bukan terbengkalai. Maksud tergendala ialah pemaju lambat untuk menyiapkan projek. Sama ada projek lewat atau sakit. Jika terbengkalai, projek tersebut :
1. Disahkan terbengkalai oleh KPKT
2. Pemaju gulung tikar dan disahkan oleh pihak mahkamah
3. Tiada sebarang progress di tapak pembinaan secara berterusan selama 6 bulan

Jumlah LAD : 10% setahun dari harga jualan dan dikira pada setiap hari kelewatan dari tempoh sepatutnya.

Contoh kiraan :

Jenis rumah : Teres (Jadual G – 24 bulan)
Harga : RM 400,000
Tarikh SPA : 01 Mei 2020
Tarikh VP sepatutnya : 01 Mei 2022
Tarikh VP sebenar : 01 Disember 2022
Bilangan hari lewat : 214 hari

LAD untuk sehari : RM 400,000 X 10% / 365 : RM 109 sehari
LAD total : RM 109 x 214 : RM 23,326
Banyak tu! Rugi kalau tidak tuntut. Boleh buat beli kelengkapan perabot atau thermomix hehe.

Cara buat tuntutan terus kepada pemaju :
1. Sediakan salinan SPA
2. Salinan surat VP
3. Salinan sijil CCC.
Buat tuntutan dalam tempoh 14 hari selepas VP.

Sekiranya pemaju ingkar :
a) Tuntutan tidak melebihi RM50,000 – pembeli boleh membuat tuntutan melalui Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR)
b) Tuntutan melebihi RM50,000 – pembeli perlu dapatkan khidmat peguam dan bawa kes ke Mahkamah Sivil.

Moga bermanfaat.

Sumber:  Yasir Awaluddin

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.