Pelajar dan rumah sewa merupakan perkara yang sinonim di Malaysia. Kebanyakan dari korang akan menyewa beramai-ramai di dalam sebuah rumah kerana penginapan yang disediakan oleh institut pendidikan korang sangat terhad. Ada beberapa hak sebagai penyewa yang semua pelajar patut tahu.

Apabila korang menyewa, kebanyakan dari korang merupakan penyewa buat kali pertama. Kebanyakan dari tuan rumah merupakan individu yang jujur dan boleh bertolak ansur. Namun ada segelintir dari mereka yang telah mengambil kesempatan terhadap penyewa, terutamanya pelajar yang kurang berpengalaman dalam bab penyewaan ini. Lagi cerita pasal penganiayaan tentang penyewa kat sini.

Sis akan terangkan kepada korang secara ringkas tentang hak korang sebagai penyewa terutamanya korang sebagai pelajar patut tahu bagi membela diri korang. Di sini sis nak ingatkan, satu-satunya cara untuk korang tuntut hak korang mengikut undang-undang adalah melalui perjanjian sewa. Ada  banyak persoalan tentang apa itu pasal perjanjian sewa? Baca dan fahamkan kat sini dahulu.

Melalui perjanjian sewa yang korang buat dengan tuan rumah korang, berikut merupakan hak korang sebagai penyewa untuk mengelakkan korang dianiayai oleh tuan rumah yang tidak bertanggungjawab. Tuan rumah yang baik dan profesional kebiasaannya tidak mempunyai masalah untuk berunding dengan korang tentang hak-hak korang yang sepatutnya.

1. Hak untuk masuk ke dalam rumah yang bersih dan berada dalam keadaan baik tanpa kerosakan

Ini adalah hak korang yang utama dan paling penting. Tuan rumah harus pastikan kediaman yang disediakan berada dalam keadaan baik dan bersih sebelum korang  mula menginap di dalam rumah yang disediakan. Rumah yang disediakan harus sekurang-kurangnya mempunyai kemudahan asas seperti elektrik dan air. Pintu dan tingkap berada dalam keadaan yang baik untuk memastikan keselamatan harta benda korang.

Tips dari sis untuk korang, apabila tuan rumah menyerahkan kunci kepada korang, sila check dahulu keadaan rumah itu. Jika terdapat sebarang  kerosakan sebelum korang mendiami rumah itu, ambil gambar kerosakan sebagai bukti untuk korang  berunding dengan tuan rumah. Pastikan ada bukti tanpa cakap kosong sahaja. Ini untuk mengelakkan salah faham dan rundingan dapat dilakukan dengan mudah antara korang dengan tuan rumah.

Menjadi tanggungjawab korang  pula untuk menjaga rumah tersebut dengan baik dan tidak melakukan sebarang kerosakan disebabkan kecuaian korang sendiri. Korang juga harus mengembalikan rumah yang didiami dalam keadaan rumah itu diserahkan.

2. Hak peribadi penyewa

Sebagai penyewa, korang  harus mempunyai hak peribadi sewaktu berada dalam rumah. Tuan rumah tidak boleh datang dengan sewenang-wenangnya secara sesuka hati di dalam rumah korang. Tetapkan secara rundingan bahawa tuan rumah akan memberi notis 24 jam sebelum datang ke rumah korang.

Sis nak INGATKAN di sini, bahawa sekiranya korang sendiri disyaki telah melanggar perjanjian sewa seperti membawa orang luar berlainan jantina dan disyaki melakukan kegiatan yang tidak bermoral, tuan rumah BERHAK untuk masuk ke dalam rumah dan melakukan tindakan untuk mengusir korang dari rumah sewa tersebut.

3. Hak tanggungan bayaran cukai ke atas tuan rumah

Sebagai penyewa, segala bayaran tanggungan cukai adakah menjadi tanggungjawab tuan rumah termasuk cukai pintu dan cukai tanah. Kegagalan tuan rumah korang menyelesaikan cukai ni boleh membuatkan rumah sewa korang disita. Oleh itu, pastikan terma dan hak tanggungan bayaran cukai ini di bawah tanggungjawab tuan rumah telah dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian yang telah ditandatangani.

4. Hak bayaran sewa

Tuan rumah seharusnya tidak mempunyai hak untuk menaikkan sewa jika korang telah menandatangani perjanjian dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Sentiasa ‘alert’ dengan tempoh perjanjian sewa korang, supaya tuan rumah tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan terhadap korang dan pastikan bayaran sewa yang telah dipersetujui oleh kedua pihak ada disebut dalam perjanjian.

Ini adalah 4 hak utama yang korang perlu tahu untuk memastikan hak korang terpelihara sebagai seorang penyewa dan tidak mudah ditipu. Namun korang sebagai penyewa juga perlu tahu bahawa, tuan rumah juga mempunyai hak terhadap penyewa dan boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap korang jika didapati melanggar perjanjian yang diberikan. So, jadilah penyewa yang baik bak kata pepatah orang putih, “What you give, you will get back”.

Good luck, guys!