Apakah kebaikan membeli rumah Subsale?

Subsale? Apa benda pulak tu? Subsale ialah rumah yang yang sudah dibina, rumah yang sedia ada, rumah yang ada di pasaran sekunder dan sudah ada owner bagi rumah tersebut.

Kalau nak lebih mudah, Subsale sama maksud seperti second-hand. Cumanya terma Subsale hanya digunakan untuk rumah dan hartanah sahaja. Bukan untuk barangan dan sebagainya.

Ramai yang berpendapat membeli hartanah Subsale memerlukan banyak kos yang diperlukan seperti membaikpulih rumah. Namun begitu, dalam pada kita nampak keburukannya, kenapa tidak kita melihat kebaikannya pula?

Jadi, Apakah 6 Kebaikan Membeli Rumah Subsale di Malaysia?

Ada banyak sebenarnya kelebihan membeli rumah Subsale. Berikut saya akan rungkaikan, antaranya:

Ada Pertanyaan?

Nyatakan tajuk serta soalan, dan Team KakiProperty akan cuba jawab pertanyaan anda.

#1. Lokasi Yang Lebih Baik

Kalau kita lihat kepada hartanah yang baru kebanyakannya terletak di lokasi yang hebat-hebat, tetapi pasaran hartanah Subsale masih lagi mampu menyainginya kerana kebanyakan pembangunan baru dibina di bandar-bandar satelit.

Sebagai contoh, Petaling Jaya merupakan bandar satelit bagi KL, dan Kota Damansara adalah bandar satelit bagi Bandar Utama. Meskipun harga pasaran hartanah di Petaling Jaya tidaklah setinggi di KL, sudah pasti anda masih boleh untuk mencari hartanah di Bandar Utama yang jauh lebih murah berbanding di Kota Damansara.

Jadi anda boleh mendapatkan rumah yang bagus pada harga yang lebih rendah sebenarnya dengan membeli Rumah Subsale.

#2. Dapat Tahu Pembangunan Sedia Ada

Kepelbagaian pembangunan yang sedia ada disekeliling menjadi salah satu kebaikan membeli rumah Subsale, seperti adanya sekolah, taman rekreasi, masjid atau mungkin shopping mall yang berdekatan.

Kebanyakan orang lebih prefer dengan pembangunan yang dah ada depan mata, yang mana memang benda tu dah pasti dan sedia ada. Jadi anda akan lebih percaya dengan kawasan yang anda beli tu. ‘What you see is what you get’.

Kenapa saya kata begitu? Mana taknya. Ada segelintir yang hanya ‘indah khabar dari rupa’. Signboard di sana sini mengatakan ada pembinaan seperti Taman Jepun dan Taman Rekreasi. Sudah bertahun-tahun dan pun berlalu, hanya rumput dan lalang saja yang tumbuh. Tak ke sedih tu.

#3. Boleh Kenal Pasti Kerosakan Yang Dialami

Sering kali apabila anda membeli hartanah baru, ada kemungkinan bahawa pemaju menggunakan kurang bahan berkualiti yang mencukupi dan akan mengakibatkan cat retak dan siling bocor dalam masa kurang dua tahun.

Namun begitu, jika anda membeli rumah Subsale, rumah tu akan ada cukup masa matang yang mana anda boleh lihat mana kerosakan yang berlaku semasa sesi viewing. Misalnya siling bocor sebagai masalahnya, anda akan dapat lihat cat bengkak. Jika dinding retak sebagai masalahnya, anda akan dapat melihatnya dengan mata kasar anda.

Jadi semuanya anda dapat nilai terlebih dahulu sebelum membeli.

#4. Dapat Kenal Jiran Dengan Lebih Awal

Bayangkan, anda dah beli rumah idaman anda, anda masuk dengan happy sekali. Tiba-tiba anda baru tahu yang anda dapat jiran yang suka pasang lagu kuat-kuat, jenis yang kuat bergaduh dan suka buang sampah merata-rata.

Ini akan jadi satu mimpi ngeri buat anda. Apa yang boleh anda buat ialah buat laporan pada pihak pengurusan jika anda tinggal di rumah strata titled atau call polis je kalau kejiranan anda buat bising lebih daripada pukul 12 tengah malam, tapi ini bukanlah point tepatnya. Sebenarnya tak perlu pun buat semua ni. Sebab apa?

Sebab itulah kebaikannya membeli rumah Subsale. Anda tak suka dengan suasana kawasan kejiranan sebegini, anda boleh cari rumah Subsale yang lain. Kan mudah tu!

#5. Cashflow Segera Tersedia

Khas buat anda yang bergelar pelabur. Membeli rumah Subsale menjadi satu kelebihan buat diri anda jika sudah melakukan kira-kira dan yakin adanya cashflow bagi setiap bulan.

Apabila anda membeli rumah Subsale, anda akan dapat menyewakannya serta-merta dan mengumpul sewa untuk membayar mortgage. Sekiranya anda bernasib baik, anda juga akan mempunyai penyewa sedia ada yang akan menyewa pada harga pasaran untuk 18 bulan akan datang.

Menarik kan?

BACA LAGI: Tips Memilih Lokasi Pelaburan Hartanah Buat Si Pelabur

#6. Tiada Risiko Kelewatan Pembinaan

Selalunya ada risiko pelancaran perumahan baru yang tidak memenuhi tarikh akhir mereka. Dan ada juga kes yang pemaju menghilangkan diri meninggalkan projek tersebut secara terbengkalai. Oleh itu, dengan membeli rumah Subsale atau pembinaan yang dah selesai ni, anda dah tak payah nak fikir banyak, sebab produknya dah memang ada dan wujud. Hanya perlu mainkan peranan sebagai tuan tanah je untuk step seterusnya.

Nak tips menjadi pelabur hartanah? Ikuti artikel ini : Tahan 6 Nafsu Jika Nak jadi Pelabur Hartanah Muda

Kesimpulannya

Itulah antara kebaikan yang dapat diperoleh hasil membeli rumah Subsale. Bukanlah maksud saya, yang anda tak digalakkan untuk membeli rumah baru atau underconstruction. Setiap pembelian rumah pasti ada ‘pros and cons’.

Setiap individu juga ada pilihan dan citarasa masing-masing. Semuanya terpulang pada anda dalam menentukan pilihan yang terbaik buat diri. Semoga dengan info ini dapat membantu anda dalam membuat pilihan yang bijak.

BACA LAGI: Nak Beli Rumah Baru, Tapi Takut Rumah Terbengkalai?